RSS

Sebuah kehilangan yang abadi....

Assalamualaikum,

Bagaimana harus dimulakan entri ni. Tahun 2011 ni banyak sungguh kejutan. Bermula dengan pemergian arwah Wak Uda..... sungguh tak disangka pemergiannya kerana menghidap penyakit kanser usus. Sebulan kemudian, arwah embah lanang yang disayangi. Bercucuran air mata ini saat mendapat khabar berita dia sudah tiada. Memang sudah sampai saatnya dia kembali kepadaNya. Saat menziarahi jenazahnya, tak puas rasa di hati untuk menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum disemadikan selamanya. Sejuk dahinya aku kucup, sejuk yang tak pernah aku rasakan. Doaku semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Ameen.

Bulan lepas, sekali lagi aku dikejutkan dengan pemergian arwah abah sahabat baikku Shieda. Bukan sekali aku berjumpa dengan arwah. Banyak kali juga aku menumpang tidur di rumahnya. Sudah sampai ajalnya, koma dua minggu akibat strok hanya penyebab. Semoga Shieda sentiasa tabah menghadapi kehilangan buat kali kedua. Katanya, dia kini anak yatim piatu. Mungkin dia rasa kesunyian dan kesedihan yang amat sangat. Apatah lagi, suaminya berada di luar negara. Pesanku padanya, jangan rasa diri berbeza. Seandainya dia perlukan teman, aku ada di sini untuk bersamanya.

Sebentar tadi, aku baru saja mendapat khabar sedih sekali lagi. Arwah abah sahabat baikku Elyani pula pergi menyahut seruan Illahi. Setelah hampir sebulan terlantar di hospital kerana kanser paru paru tahap 4, akhirnya dia pergi jua. Aduhai yanie, aku tahu kesedihan dan kepiluan di hati. Masih aku ingat surat surat berisi nasihat yang arwah abah kau kirimkan masa kita di universiti dulu. Sungguh manis caranya memberi nasihat untuk anak anak. Sabar lah sahabat ku. Relakan pemergiannya, dan kirimkan doa agar dia pergi dengan tenang dan aman.

Sesungguhnya, aku merasai kesedihan yang kamu semua rasai. Entah bagaimana kalau orang yang aku paling sayangi pergi. Mungkin aku tidak setabah mana, namun kita harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saat itu akan tiba jua, biar lambat atau cepat. Sememangnya kita wajib mengingati mati. Justeru, hargailah mereka yang kita sayangi selagi hayat dikandung badan.

Al-fatihah......

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS